PROGRAM KEDAI HARGA PATUT PKHP
PENGENALANAnugerah Kedai Harga Patut telah pertama kali diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada tahun 2003 bertujuan untuk mengenalpasti, menilai dan mengiktiraf premis perniagaan yang menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif bertepatan dengan kualiti yang ditawarkan kepada pengguna. Matlamat jangka panjang pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan sumber pendapatan dan kualiti perkhidmatan sektor perdagangan pengedaran dan peruncitan. Secara tidak langsung, ia dapat menjadikan Malaysia sebagai suatu destinasi membeli-belah yang utama di kalangan para pelancong dari dalam dan luar negara.
DEFINISI ”KEDAI HARGA PATUT”
Kedai Harga Patut adalah premis perniagaan yang menjual barangan keperluan pengguna pada harga yang berpatutan dan berdaya saing bertepatan dengan kualiti barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan.
OBJEKTIF
Objektif pelaksanaan Anugerah ini adalah untuk:
- Memberi peluang kepada pengguna untuk membeli barang dengan harga berpatutan dan berkualiti di Kedai Harga Patut;
- Menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi dan seterusnya berbelanja di pusat membeli-belah dan premis perniagaan di seluruh negara;
- Memberi pengiktirafan kepada premis perniagaan yang menjual barang dengan harga berpatutan serta kompetitif dan mempunyai sistem perniagaan runcit yang menjamin kualiti barang, perkhidmatan jualan dan etika perniagaan; dan
- Meningkatkan imej negara sebagai destinasi pelancongan dan pusat membeli-belah.
Anugerah ini disasarkan kepada pemilik premis perniagaan yang menjual barangan keperluan pengguna termasuk produk tarikan pelancong.
KATEGORI PENYERTAAN
Penyertaan bagi anugerah ini dibuka kepada semua pemilik perniagaan di seluruh negara yang menjual barangan mengikut kategori berikut:
KOD | KATEGORI |
| 01 | Barang Kulit / Kasut / Beg |
| 02 | Barang Elektrik & Elektronik |
| 03 | Barang kraftangan/antik/batik/songket (termasuk pewter, alat muzik, antik dan lain-lain) |
| 04 | Barang Kemas / Aksesori |
| 05 | Tekstil/pakaian (termasuk kain ela, ’garment/apparel’, tali leher dan lain-lain) |
| 06 | Kamera |
| 07 | Jam Tangan |
| 08 | Kosmetik / Wangian |
| 09 | Kaset & Cakera Optik |
| 10 | Alat Telekomunikasi |
| 11 | Buku / Majalah |
| 12 | Barang Optik & Cermin Mata |
| 13 | Komputer & Aksesori |
| 14 | Kedai runcit |
| 15 | Mini market |
| 16 | Pasar raya |
| 17 | Pasar raya besar |
| 18 | Departmental store |
| 19 | Kedai makan/restoran |
| 20 | Gerai makan |
Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan kepada kriteria berikut:
a) Kriteria asas:
- Tanda harga barangan yang jelas;
- Tanda harga barangan promosi yang jelas;
- Harga barang yang munasabah;
- Kepelbagaian barang; dan
- Keaslian barang
- Kepelbagaian kaedah bayaran;
- Pemulangan dan penukaran barangan yang dijual;
- Kakitangan premis mempunyai pengetahuan ke atas barang yang dijual;
- Layanan kepada pelanggan;
- Kebolehan dan penggunaan bahasa (Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan dialek);
- Keterampilan kakitangan/ wakil jualan.
- Persekitaran/suasana yang baik untuk pelanggan tempatan/luar negara;
- Lokasi premis yang strategik.
- Peragaan produk dalam keadaan baik (tiada barangan yang rosak, kemek, berkarat atau tamat tempoh);
- Mesra pelanggan (barangan mudah diambil);
- Barangan disusun mengikut kadar permintaan pengguna.
- Menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan (penghantaran barang, membalut hadiah);
- Menawarkan kad keahlian (mata ganjaran/ diskaun pembelian);
- Menyokong kempen/ dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan;
- Mengamalkan pengurusan perniagaan secara lestari.
PENGIKTIRAFAN
Premis-premis perniagaan yang diiktiraf sebagai Kedai Harga Patut akan menerima sijil pengiktirafan beserta trofi. Selain itu, premis yang diiktiraf akan diberi publisiti melalui media cetak dan media elektronik serta disenaraikan di dalam buku direktori pada tahun tersebut.
CARA PENYERTAAN
Pihak Kementerian akan mengeluarkan iklan penyertaan di dalam akhbar-akhbar utama pada tarikh yang akan ditentukan. Semua penyertaan perlu mengisi borang secara online melalui laman sesawang Kementerian www.kpdnkk.gov.my.
NOTA:
Pihak Kementerian berhak menurut budi bicaranya yang mutlak untuk menambah, membatal atau meminda mana-mana syarat dan peraturan pemberian anugerah ini pada bila-bila masa tanpa mengemukakan notis bertulis kepada peserta terlebih dahulu.
BORANG PENYERTAAN ONLINE
SENARAI PEMENANG AKHP 2010 / 2011
SENARAI PEMENANG AKHP 2008 / 2009
Sebarang pertanyaan mengenai Anugerah Kedai Harga Patut boleh disalurkan kepada :
Pengarah
Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
No.13, Persiaran Perdana, Presint 2
62623 Putrajaya
Tel : 03-8882 6203
Faks : 03-8882 5826